PENGENALAN 

Program pengajian tahap sijil bidang teknologi elektrik dan elektronik Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi merupakan program yang menerapkan pengetahuan dan kemahiran praktikal dalam perkhidmatan teknikal yang merangkumi pemasangan, pengujian dan penyelenggaraan. Program sijil bidang teknologi elektrik dan elektronik Kolej Komuniti dibangunkan secara komprehensif yang terdiri daripada kursus matematik, sains, teknologi elektrik dan elektronik, keperluan kompetensi di tempat kerja dan pembangunan sahsiah. Graduan sijil bidang teknologi elektrik dan elektronik akan dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran khusus termasuk aplikasi teknologi hijau dan kecekapan tenaga, teknologi komputer dan komunikasi serta aplikasi automasi selaras dengan perkembangan industri masa kini. Sijil bidang teknologi elektrik dan elektronik adalah program sepenuh masa dua tahun yang terdiri daripada tiga semester kursus dan satu semester penuh latihan industri.

SINOPSIS 

Program Sijil Teknologi Elektrik (dahulunya dikenali Sijil Pemasangan Elektrik) direkabentuk bertujuan memperkenalkan pelajar kepada teknologi elektrik pada masa kini. Pelajar akan memperolehi pengetahuan dan latihan kemahiran berkaitan elektrik dan elektronik. Pelajar berkemampuan untuk mengendalikan kerja-kerja pemasangan dan perkhidmatan berkaitan industri elektrik dan elektronik. Program ini menawarkan kursus teras Teknologi Elektrik, Alat Pengukuran, Peranti Semikonduktor, Sistem Digit, Lukisan Terbantu Komputer, Motor Elektrik Satu Fasa, Pemasangan Elektrik Satu Fasa, Motor Elektrik Tiga Fasa, Pemasangan Elektrik Tiga Fasa, Pengawal Logik Bolehaturcara, Sistem Automasi Bangunan, serta kursus Sistem Keselamatan dan Penyamanan Udara. Selain itu, kursus Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan juga ditawarkan sebagai teras umum selain Matematik dan Sains. Pelajar juga akan didedahkan dengan elemen soft skills melalui kursus wajib yang menerapkan kemahiran insaniah dan pembelajaran kendiri melalui tugasan serta projek. Di samping itu, lulusan daripada program ini juga akan mempelajari teknik-teknik keusahawanan sebagai nilai tambah bagi menyahut cabaran dunia sebenar keusahawanan dalam bidang elektrik dan elektronik.

PROSPEK KERJAYA 

Program ini menyediakan pengetahuan dan kemahiran di dalam bidang teknologi elektrik yang boleh menepati keperluan kerjaya seperti berikut: 

a. Penolong Jurutera Gred JA29
b. Juruteknik Elektrik / Elektronik
c. Penolong Juruteknik Elektrik / Elektronik
d. Juruelektrik